Monday 30 September 2013

KEJOHANAN 1M1S DI SKBW 2013

Kejohanan 1M1S telah diadakan pada 23/9/2013, Isnin bertempat di Padang SKBW.






Monday 9 September 2013

MAJLIS RESTU ILMU MURID TAHUN 6

Majlis restu Ilmu untuk murid - murid tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan UPSR telah diadakan pada 9 September 2013 bertempat di surau sekolah. Di dalam Majlis ini, guru besar telah memberikan ucapan yang berbentuk ransangan kepada murid-murid tahun 6. Murid yang mendapat 5 A dalam ujian tambah nilai telah di beri penghargaan, begitu juga dengan murid-murid tahun 6 bistari yang lulus semua matapelajaran. Di akhir majlis ini, sesi bersalaman antara murid-murid dan guru-guru sebagai simbolik untuk guru-guru menghalalkan semua ilmu yang telah di berikan kepada murid-murid.




Sunday 8 September 2013

UPSR 2013


SURAT TERBUKA KEPADA SEMUA CALON UPSR 2013 NEGERI TERENGGANU



Assalamualaikum  calon- calon UPSR
Anak - anak Terengganu Anjung Ilmu 2013
Apa khabar kalian ? Semoga semuanya sihat dan bersemangat. Tenang dan tenteram. Masa pertarungan yang dinanti sekian lama kian mampir. Usah gentar, usah takut. Ketakutan hanyalah ada pada jiwa sang pengecut. Kamukan bukan insan seperti itu . Tidak ! Kamu pahlawan dan harapan yang telah diasuh dan dilatih oleh para pendeta untuk pertarungan ini. Kamu dulu adalah manusia-manusia biasa yang naif dan kerdil. Kini kamu juga tetap manusia biasa TETAPI berjiwa,bersemangat dan berfikir luar biasa. Kamu bakal mencipta fenomena. UPSR Terengganu 2013 bakal gah menjulang jaya di persada negara...
Anak-anak kami yang berani,
Dipundakmu dibahumu negeri Terengganu Anjung Ilmu meletakkan harapan tinggi kepadamu. YAB Dato’ Seri Menteri Besar, YB Exco Pendidikan, Pengarah Pendidikan Negeri, Guru Besar, para gurumu, ibubapamu bahkan seluruh rakyat Terengganu menaruh yakin dan mengharapkanmu mengibar obor kehebatan anak Terengganu menjulang UPSR sebagai nombor 1. Insyaallah kami semua amat yakin dengan keupayaan dan kemampuanmu. Katakan, buktikan anak-anakku.
Anak-anak kami yang hebat,
Sebelum melangkah ke gelanggang pada 10,11 dan 12 September 2013 nanti ingin kami berpesan dan menitipkan beberapa petua agar selari pencak dengan rentaknya, selagu seirama  buah gurindamnya serta arif bijaksana mentafsir tipu muslihat persoalannya. Jangan mudah tertipu dengan gelojoh nafsu.
Pertama jangan alpa membaca Bismillah , kunci pembuka resah dan susah. Berkatnya tidak payah dicerita. Semoga dengan rahmat namaNya segala urusan bakal menjadi mudah dan sempurna. Namun ingat, sebelum turun ke gelanggang salami tangan ibuayah  yang dikasihi, salami tangan guru yang mendidik tanpa jemu. Mohon keampunan dan restu. Insyaallah doanya mustajab serasi dengan izin dan kehendak Ilahi. Mudah-mudahan pertarungan menjadi mudah, kejayaan menjadi milik kita dengan gah.
Anak-anak yang budiman,
Jangan sesekali bergopoh-gapah,resah-gelisah. Sediakan awal segala peralatan dan keperluan. Syaitan sentiasa mahu kita lalai dan kucundang. Justru lawan syaitan itu dengan ketenangan dan kebijaksanaan. Teliti soalan dan jawapan dengan minda sejati dan pandangan mata hati bukannya gopoh-gapah membuta –tuli. Biar nampak mudah namun sabar,jangan terpesona godaan syaitan madah berhelah. Insyaallah dengan “ketenangan dan kesabaran” yang kusut dapat dilerai, yang sukar dapat diungkai. Yakin dengan diri. Jangan lalai zikir Rabbi jangan lupa selawat Nabi. Insyaallah kejayaan bakal menjadi milik kita nan abadi
Anak-anak yang bijaksana,
Sesudah selesai sesuatu pertarungan dan didapati ada berlaku sedikit kesilapan tingkah dan langkah, jangan sesal dan gunda-gelana. Jangan terbuai dalam lamunan emosi hingga hilang fokus dan kosentrasi. Kesilapan kecil bukanlah pembunuh kepada kemaraan perjuangan yang lebih besar. Tumpukan segala daya dan tenaga untuk memenangi dan menguasai pertarungan seterus nya. Jadikan kesilapan yang ada itu guru untuk mengajar kita supaya bijaksana,sabar dan teliti. Ingat orang yang bijaksana itu , “ Apa yang diusaha dan dicapai hari ini lebih baik dari semalam dan apa yang diusaha dan dicapai besok lebih baik dari hari ini “. Orang bijaksana tidak hanyut dibuai emosi, orang bijaksana cekap dan tega mengawal situasi.
Anak-anak pewaris bangsa,
Jangan sesekali memandang enteng pertarungan ini. Pertarungan UPSR ini adalah yang pertama dan terakhir. Tiada lagi pertandingan ulangan sama ada menang atau kecundang. Tidak ada. Oleh itu guna peluang ini sebaik mungkin. Jangan undur dan mengaku kalah. Kamu adalah sang juara terhebat. Harapan untuk membawa obor amanah dan maruah diri,keluarga,bangsa,agama dan negara pada masa depan. Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara dan bermacam lagi sekolah hebat sedang menunggu kamu. Orang inginkan kehebatan perlu berhijrah,perlu berubah, perlu transformasi. Kamu adalah permata kami yang perlu dicanai di sekolah-sekolah hebat ini agar gemerlap menyinari semesta tamaddun bangsa pada masa depan . Jangan lepas peluang ini. Orang yang paling malang melihat sahaja peluang berlalu dan hanya menangis penuh penyesalan selepas itu. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna...
Rebut,rebut,rebut dan rebutlah.
Anak-anak yang bersemangat waja,
Katakan kepada dirimu sendiri..
Jika ada 1,000 manusia yang beroleh 5A UPSR 2013
Akulah salah seorang daripadanya….
Jika ada 100 manusia yang beroleh 5A UPSR 2013
Katakan kepada dirimu sendiri..
Akulah  salah seorang daripadanya…
Jika ada 10 manusia yang beroleh 5A UPSR 2013
Katakan kepada dirimu sendiri…
Akulah salah seorang daripadanya…
Jika ada 1 sahaja manusia yang beroleh 5A UPSR 2013
Katakan kepada dirimu sendiri..
AKUlah itu….
Anak-anak kami yang kami kasih kami doakan…
Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Berikah anak-anak kami yang bakal menduduki UPSR
Kekuatan minda, jiwa, rohani dan spiritual,
Campak ke dalam hati mereka  ketenangan dan keberanian..
Ya Allah Ya Rahim
Dengan sifat penyayang dan pengasihMU
Berikan kesihatan yang mantap serta terhindar dari
Segala penyakit dan musibah sepanjang
Menduduki ujian UPSR ini…
Lapang dan permudahkanlah urusan mereka
menghadapi ujian ini agar nanti bakal
menjadi anak-anak pintar soleh mengenang budi
serta pendokong ummah dan agamaMu
dipersada dunia dengan  cemerlang dan terbilang.
Ya Allah…
Hanya kepadaMu kami memohon
Keampunan dan pertolongan
Amin….

MAJLIS SOLAT SUNAT HAJAT DAN BACAAN SURAH YASIN

Majlis Solat Sunat Hajat dan bacaan surah yasin untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada 10,11 dan 12 September 2013 telah diadakan pada 05 September 2013 (Khamis malam jumaat). Majlis bermula pada pukul 7.15  - 9.30 malam bertempat di Surau SKBW.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak Guru, Kakitangan, ibubapa dan pelajar yang hadir. Semoga pelajar diberi ketenangan dan berjaya di dalam UPSR nanti.