Wednesday 6 August 2014

SAMBUTAN HARI RAYA 2014 DI SKBW

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri telah diadakan pada 04 Ogos 2014 (Isnin) di SK Bukit Wan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pertandingan pakaian cantik guru dan murid-murid, jamuan hari raya, persembahan dari pelajar dan sebagainya.









Wednesday 23 July 2014

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI DIUCAPKAN KEPADA SEMUA WARGA SKBW.
MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Sunday 29 June 2014

MARHABAN YA RAMADHAN





KEWAJIPAN BERPUASA

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 dan 185 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

“Masa yang diwajibkan berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu..”.

Sesungguhnya bulan Ramadhan bulan yang setiap tahun dinantikan ketibaannya oleh setiap umat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberikan terlalu banyak manfaat, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang menghayatinya.

FADHILAT DAN KEUTAMAAN RAMADHAN

Terdapat puluhan hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam di akhirat kelak bahkan faedah di dunia ini.

Walau bagaimanapun faedah dan manfaat itu hanya diberikan kepada umat Islam yang taat menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Mereka yang ingkar, tidak berpuasa, tidak mengerjakan solat dan lain-lain perintah Allah, tidaklah berhak mendapatnya.

Di bawah ini diringkaskan beberapa maksud hadis Rasulullah s.a.w mengenai fadhilat, kelebihan, keutamaan dan kemuliaan bulan Ramadhan serta amal ibadah yang sewajarnya dilakukan.

· Pintu langit dibuka

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

· Pintu-pintu syurga dibuka

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satu pun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukan kejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan sedemikian itu berlaku pada setiap malam Ramadhan.”

(Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

· Amal ibadah bulan Ramadhan Dalam khutbah terakhir bulan Syaaban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w. telah memberi nasihat kepada umat Islam supaya menyempurnakan berbagai amal ibadah sepanjang bulan Ramadhan:

1. Solat sunat tarawih.
2. Solat-solat sunat yang lain.
3. Bantu membantu sesama umat Islam seperti bersedekah dan seumpamanya.
4. Memberikan hidangan berbuka puasa.
5. Banyakkan membaca tahlil (syahadah, berzikir, bertasbih dan seumpamanya).
6. Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah s.w.t.
7. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka.
8. Banyakkan bersabar, kerana pada bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
9. Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita. Ini termasuk jangan mengumpat, berkelahi, boros, fitnah-memfitnah, berbohong dan sebagainya.

Ganjaran pahala ibadah dan fadhilatnya
Ganjaran pahala mereka yang mengerjakan amal ibadah dalam bulan Ramadhan adalah berlipat-ganda. Ibadah fardhu diberi pahala sehingga tujuh puluh kali ganda, manakala ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardhu. Pada keseluruhannya, bulan Ramadhan ini terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Untuk mendapat rahmat Allah s.w.t yang mencurah-curah.
2. Untuk mendapat keampunan Allah s.w.t.
3. Untuk mendapat pelepasan dari azab neraka.

FADHILAT YANG LAIN-LAIN

· Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga.

· Doa orang yang berpuasa dimakbulkan Allah s.w.t.

· Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu semasa berbuka puasa dan apabila bertemu dengan Allah pada Hari Kiamat kelak.

· Orang yang berpuasa disertai menjauhi segala larangan semasa berpuasa, dan mengerjakan ibadah sunat seperti bertahlil, bertasbih dan seumpamanya, akan dibinakan mahligai yang indah di syurga.

· Setiap kali sujud orang yang berpuasa Ramadhan dikurniakan seribu tujuh ratus kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan tujuh puluh ribu malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.
Demikian sebahagian dari berbagai fadhilat dan kelebihan orang yang berpuasa Ramadhan.

SOLAT SUNAT TARAWIH

Ibadat yang paling besar pahalanya ialah menghayati setiap malamnya dengan solat sunat Tarawih. Menurut sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang panjang lebar, terdapat berbagai fadhilat dan faedah termasuk diampuni dosa-dosa dirinya dan kedua ibu bapanya, diberi pahala seumpama pahala tawaf para malaikat di Baitul Ma’mur, bersih dari dosa seperti baru dilahirkan, dibinakan mahligai di syurga, dinaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat dan berbagai-bagai lagi.

Pengertian Solat Tarawih

Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirehat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat, fardu Isyak. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih, sebelum di sambung semula.

Tujuan utamanya ialah untuk memberi peluang dan galakan kepada umat Islam supaya suka mengisi waktu yang terluang di dalam bulan Ramadhan, dengan ibadat-ibadat sunat seperti solat Tarawih, solat Witir dan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain.

Qiamu Ramadhan
Solat Tarawih juga disebut dengan Qiamu Ramadhan. Solat ini dikerjakan selepas umat Islam mengerjakan solat fardhu Isyak dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud bahawa sesiapa yang mengerjakan Qiamu Ramadhan (solat Tarawih) dengan penuh keimanan dan ikhlas mengharap ganjaran dari Allah, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.

Lailatul-Qadar
Satu lagi keistimewaan bulan Ramadhan ialah rahsia Allah s.w.t. menurunkan malam Lailatul-Qadar dalam salah satu malam dalam bulan Ramadhan tersebut.

Di dalam surah al-Qadr, Allah s.w.t. menjanjikan bahawa mereka yang beramal diberi ganjaran seperti beramal ibadat selama 1,000 bulan atau 83 tahun (maksud al-Quran, surah al-Qadr).

Walau bagaimanapun, hanya Allah s.w.t. jua yang mengetahui, pada malam yang manakah Lailatul-Qadar itu diturunkan. Kebanyakan para ulama menyatakan bahawa Lailatul-Qadar itu diturunkan pada salah satu dari sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan. Setengah ulama pula menyatakan bahawa Lailatul-Qadar itu diturunkan pada salah satu malam yang ganjil dari sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan.

Istilah Qiamu Ramadhan juga dimaksudkan bahawa umat Islam sewajarnya menghidupkan suasana malam di sepanjang bulan Ramadhan dengan mengerjakan solat, iktikaf dalam masjid, berzikir dan seumpamanya. Sangatlah ruginya mereka yang tidak mahu merebut peluang meraih pahala dengan beribadat solat Tarawih setahun sekali ini. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Hukum Solat Tarawih

Hukum solat Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurnaan bagi ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya. Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan solat sunat Tarawih pada malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar. Berjaya tetapi tidak cemerlang. Sesungguhnya sangatlah rugi mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat sunat Tarawih.

Berjemaah lebih utama

Sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w., solat sunat Tarawih boleh dikerjakan dengan bersendirian ataupun secara berjemaah di masjid atau surau. Telah sepakat pendapat bahawa adalah lebih afdhal solat sunat Tarawih itu dikerjakan dengan berjemaah.

Solat Tarawih 20 Rakaat Umat Islam di Malaysia khasnya mengerjakan solat sunat Tarawih dua puluh rakaat semenjak dahulu lagi. Ada sebahagian kecil sahaja yang solat lapan rakaat.

Demikian juga umat Islam di negara-negara lain. Jika anda pergi ke Mekah dalam bulan Ramadhan maka anda akan dapati solat sunat Tarawih di masjid AL-Haram Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah dikerjakan dua puluh rakaat.

Solat Sunat Witir · Jika anda berniat hendak bangun tengah malam, mengerjakan solat sunat Tahajjud, solat Hajat, solat Tasbih dan sebagainya, maka solat sunat Witir ini bolehlah ditangguhkan, dan dilaksanakan yang terakhir sekali iaitu setelah selesai dikerjakan semua solat-solat tersebut.

· Kebanyakan orang ramai yang mendirikan solat Tarawih berjemaah di masjid atau surau, biasanya akan terus mengerjakan solat sunat Witir tiga rakaat (dua salam) dengan berjemaah, sebaik sahaja selesai solat sunat Tarawih.

AMALAN DI MALAM BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan adalah bulan untuk memperbanyak dan melipatgandakan amal ibadat. Allah s.w.t. telah menjanjikan untuk mengurniakan pahala dan kelebihan yang berlipat ganda, termasuk juga balasan syurga. Di antara banyak amal ibadat yang boleh dilakukan ialah iktikaf serta beribadat di dalam masjid, Qiamullail dan solat sunat Tasbih, berzikir, bertahmid, membaca al-Quran dan sebagainya.

1. Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadhan

Terdapat beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. dan Ibnu Umar, bahawa Nabi s.a.w. telah beriktikaf di dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.


Rasulullah s.a.w. meluangkan masa yang lebih untuk beriktikaf di masjid dan beramal ibadat, mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., dengan lebih tenang, aman dan khusyuk. Baginda memutuskan kesibukannya dengan dunia luar, lalu dengan penuh khusyuk dan tawadhuk beriktikaf dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Kaifiat Iktikaf

· Hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar dan juga dari sebarang najis.

· Iktikaf hanya sah dilakukan di dalam masjid sahaja. Kaum wanita boleh iktikaf di dalam rumah, di tempat yang dikhaskan. Jika bersuami hendaklah meminta izin suami terlebih dahulu.

· Mereka yang sedang iktikaf hanya diharuskan keluar dari masjid untuk menunaikan keperluan-keperluan yang pokok sahaja, seperti makan minum, membuang air dan seumpamanya. Keluar dari masjid untuk bersetubuh dengan isteri tidak dibenarkan.

- Iktikaf di dalam masjid boleh dilakukan siang atau malam. Mereka yang beriktikaf untuk menunggu Malam Lailatul-Qadar seharusnya beriktikaf pada malam hari, selepas solat Tarawih dan Witir hingga menjelang subuh.

2. Kelebihan Malam Lailatul-Qadar

Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran surah al-Qadar, malam Lailatul-Qadar itu mempunyai fadhilat dan kelebihan yang amat besar. Faedah dan ganjarannya bagi mereka yang beriktikaf dan beribadai pada malam tersebut adalah menyamai ibadat beriktikaf selama 1,000 bulan atau 83 tahun.
Rasulullah s.a.w. sangat menggalakkan supaya umat Islam berusaha mencari dan beriktikaf di malam Lailatul-Qadar itu. Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Carilah malam Lailatul-Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.”

(Hadis riwayat Bukhari, Muslim at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang lain, yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas menyatakan bahawa baginda bersabda yang bermaksud:
“Carilah malam Lailatul-Qadar di dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan; pada malam yang ke 21, 23 dan 25.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai, at-Tarmizi dan Imam Malik)

Imam-imam mazhab termasuk Imam Syafie masing-masing telah membuat kajian, ada yang berpendapat malam Lailatul-Qadar itu berlaku pada malam 27 Ramadhan, 21 Ramadhan dan sebagainya, masing-masing dengan hujahnya. Bagaimanapun Allah jua yang mengetahuinya.

Tanda-tanda Malam Lailatul-Qadar Hassan al-Basri meriwayatkan bahawa tanda-tanda turunnya Malam Lailatul-Qadar, diantaranya ialah suasana alam pada malam itu tenang, damai dan tenteram, tidak panas dan tidak pula terlalu dingin. Cahaya matahari keesokan harinya tidak terik.

Dalam Sahih Muslim disebutkan bahawa pada Malam Lailatul-Qadar seramai 70,000 malaikat turun dari Sidratul-Muntaha ke bumi. Mereka membawa rahmat Allah memasuki rumah-rumah dan memberi salam kepada orang-orang Islam, kecuali rumah orang yang ada anjing. Apabila matahari naik esoknya, malaikat-malaikat itu naik semula ke langit dengan serentak. Sayap puluhan ribu malaikat itu melindungi pancaran panas cahaya matahari, menyebabkan suasana di bumi dingin dan tenang. Antara amalan yang boleh dilakukan pada malam Lailatul-Qadar ialah Solat Sunat Lailatul-Qadar, zikir, tasbih, berdoa, beriktikaf dan sebagainya.

Thursday 22 May 2014

SAMBUTAN HARI GURU 2014

Sambutan Hari Guru 2014 di SKBW telah diadakan pada 18 Mei 2014(Ahad).
Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah, bacaan teks ucapan sempena sambutan hari guru oleh Guru Besar SKBW, nyayian lagu "Guru Malaysia" oleh semua guru SKBW,acara sukaneka seperti perlawanan bola sepak antara guru dan pelajar, bowling kelapa, menarik upih, kupas kulit epal paling panjang, mengayam daun kelapa (buat balut cempedak), dan persembahan dari guru dan pelajar. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah terlibat bagi memeriahkan Sambutan Hari Guru 2014.

SELAMAT HARI GURU DIUCAPKAN KEPADA SEMUA GURU DI SKBW







Thursday 15 May 2014

SELAMAT HARI GURU 2014




SELAMAT HARI GURU 2014 DIUCAPKAN KEPADA SEMUA GURU DI SKBW DAN GURU DISELURUH MALAYSIA.

Saturday 10 May 2014

TAKZIAH

Pagi ini SKBW telah dikejutkan dengan berita sedih, seorang guru Prasekolah (Tg. Tina binti Engku Yusof) telah kembali ke rahmatullah. Takziah diucapkan kepada keluarga cikgu Tengku Tina binti Engku Yusof (Guru Prasekolah). Arwah telah meninggal pagi ini. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Semoga keluarga arwah tabah menghadapi semua ujian ini. Al-Fatihah.






Tuesday 6 May 2014

PROGRAM MOTIVASI UPSR 2014

Program Motivasi UPSR telah diadakan di Anees Resort, Mengabang Telipot pada 5/5/2014 hingga 7/5/2014.






Wednesday 23 April 2014

KURSUS KELAS MAYA 2014

Kurus kelas maya telah diadakan pada 23/04/2014 (Rabu) bertempat di bilik kelas maya tahun 4 Arif. Tenaga pengajar kelas maya ialah wakil dari Top-It Industries Sdn. Bhd (Gong Badak). Tujuan kursus ini diadakan ialah untuk melatih guru-guru cara menggunakan smart board,e-Book dan memudahkan lagi guru menggunakan kemudahan teknologi terkini untuk pengajaran dan pembelajaran. Pihak sekolah mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Top-It yang telah menjayakan kursus kelas maya tersebut.







Tuesday 15 April 2014

PERTANDINGAN POETRY RECITATION (KARNIVAL BAHASA INGGERIS 2014)

Pertandingan Poetry Recitation sekolah rendah peringkat KTU Sempena karnival bahasa inggeris 2014  telah di adakan di SK Banggol Peradong pada 14 April 2014. Tahniah kepada pelajar yang berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Poetry Recitation.